Wednesday, 6 December 2017

Panduan yang Harus Diikut dalam Menulis Buku Kanak- Kanak

MENULIS PERKARA YANG BOLEH DIJADIKAN PENGAJARAN / MORAL 
Kisah teladan kanak-kanak yang sering dibukukan menjadi tarikan kanak-kanak dan ibu bapa. Sememangnya buku yang mempunyai nilai murni, pengajaran dan moral di sebalik cerita sering juga menjadi pilihan. Usai bercerita pada anak-anak, ataupun anak-anak sendiri yang membaca, pastinya terselit pengajaran di akhir penceritaan. Adakala, kita perlu akui bahawa kanak-kanak kadang-kadang kurang mempercayai nasihat ibu bapa atau guru, tetapi akan mempercayai kisah teladan daripada buku cerita yang dibaca. Mungkin kerana gambaran ilustrasinya ataupun cara pengolahan cerita oleh penulis itu sendiri yang menarik hati kanak-kanak untuk mengikut ajarannya. 
MENULIS DARIPADA PENGALAMAN ORANG LAIN 
Dalam kehidupan seharian, tentunya anda akan bercerita dengan rakan-rakan ketika waktu makan tengah hari. Malah, ketika anda sedang melayari internet, ada rakan anda yang ‘post’ kisah anak atau anak buah mereka. Lalu, kisah yang secebis itu anda boleh olah watak dan jalan cerita untuk menghasilkan satu kisah. Anda sudah nampak kini? Mudah atau tidak mendapatkan idea? Ada ketika anda berbual dengan rakan, dan rakan lain pula menceritakan kisah mengenai anak kepada kawannya sukar berkongsi makanan atau mainan dengan rakan sebayanya. Atau gemar bersendirian. Akibatnya, anak rakan tersebut kurang digemari dan tiada rakan ingin berkawan dengannya. Jadi, daripada kisah yang anda peroleh ini, anda bukan sahaja berkongsi cerita melalui lisan sesama anda sahaja, malah anda boleh berkongsi penulisan dan menulis pengajarannya lalu berkongsi cerita dengan ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang menjadi pembaca buku anda.

MENULIS MELALUI KISAH ANAK-ANAK 
Kata Ayrinn, 6 tahun, balik sekolah, menuruni tangga, ramai kanak-kanak berebut-rebut untuk turun. Cerita Ayrinn, dia ingin menuruni tangga sekolah. Namun ramai kawan-kawan yang berebut-rebut. Jadi, untuk mengelakkan terjatuh dan adegan tolak-menolak di tangga, dia tunggu dahulu. Apabila kawan-kawan mulai berkurangan, baru dia turun. Tetapi, dalam pada itu, ada juga seorang rakan yang menolaknya dari belakang. Dia sedikit marah apabila bercerita kerana katanya dia kasihan. Di depannya ada seorang budak lelaki umur 5 tahun. Mujur tidak jatuh adik tu, katanya. Sedikit sebanyak, kisah anak-anak ini boleh dijadikan cerita di dalam karya anda. Masukkan unsur kisah, masalah, dan penyelesaian. Dalam cerita anda, boleh masukkan perenggan guru menasihati anak murid supaya jangan tolak-menolak semasa turun tangga, perlu beratur dan turun di sebelah kiri misalnya agar nampak lebih berdisiplin. Secara tak langsung, kanak-kanak yang membaca boleh menjadikannya pengajaran dan pengetahuan.

MENULIS MELALUI PENGALAMAN 
Kisah hidup kita seharian bersama kanak-kanak boleh kita jadikan idea untuk menulis buku kanak-kanak. Kadangkala kita merasakan kisah itu ‘simple’, ringkas sahaja, namun itulah kisah sebenar penceritaan yang kita boleh jadikan perenggan demi perenggan dan akhirnya terhasillah sebuah naskah buku kanak-kanak.

Sumber: http://fasya-fazida.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment